Nak bersenam, tapi malas. Ada cara mudah tak ya?

Mestilah ada. Kalau nak tahu, ia boleh dilakukan di rumah dengan apa yang ada di sekeliling kita. Tidak semestinya ke gimnasium atau ke padang untuk bersenam. Untuk sihat kita boleh lakukan sendiri menerusi aktiviti harian dan paling bestnya dengan keselesaan di rumah sendiri. Jadi si cantik sekalian, jom bangun dan kita bersenam.
 
Baru-baru ini ada sebuah artikel menulis tentang ramai rakyat Malaysia yang dikatakan kurang bersenam dengan alasan tiada masa dan malas. Menurut Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr.Muhd. Kamil Ibrahim berkata, kewujudan teknologi canggih seperti komputer dan permainan video juga antara faktor yang melahirkan generasi kurang bersenam.
 

Jadi adakah kita ingin teruskan generasi yang kurang berpeluh ini? Come on, kesihatan tubuh badan kita, kita yang harus menjaganya. Tidak ada gimnasium atau padang terlalu jauh bukan halangan. Ini ada tip untuk anda yang ingin bersenam cara mudah. Jom kekalfit di rumah.
 
Ketika membasuh pinggan

Cuba untuk berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Cara ini dapat mengukuhkan kawalan saraf sekitar buku lali, lutut dan pinggul. Ia turut membantu anda dalam menstabilkan tubuh badan sendiri.
 
Ketika menyapu sampah atau mop lantai

Aktiviti ini sangat berkesan dalam membuatkan badan anda berpeluh. Tukar gaya menyapu anda. Lakukan step tarian mudah yang anda ingat sambil menyapu atau mop lantai. Anda juga boleh mainkan muzik kesukaan untuk menjadikannya lebih seronok.
 
Ketika memberus gigi

Untuk memastikan anda tidak mengantuk dan segar pada pagi hari, senaman cangkung atau squat boleh dilakukan ketika sedang memberus gigi. Dengan cara ini, kekuatan lutut anda dapat ditingkatkan selain mengurangkan risiko artritis. Mulakan dengan bilangan yang sedikit seperti 6 hingga ke 7 kali setiap hari. Apabila sudah menjadi kebiasaan, tingkatkan bilangan sedikit demi sedikit.
 
Naik turun tangga
 
Bagi rumah yang mempunyai tangga, anda sangat beruntung. Senaman naik turun tangga boleh menggantikan senaman seperti berjoging di rumah. Senaman ini juga berkesan untuk mencantikkan pinggul wanita. Lakukan senaman ini selama 10 ke 15 minit setiap hari.
 
Ketika menonton Televisyen

Banyak jenis senaman yang anda boleh lakukan semasa menonton televisyen. Contohnya, anda boleh cuba naikkan kaki setinggi boleh ataupun paling kurang sehingga 45 darjah dari lantai dengan menggunakan kekuatan paha. Selain itu, anda juga boleh melakukan senaman tangan dengan menggunakan dumbel. Anda pasti tidak akan merasa kepenatannya sambil dihiburkan dengan rancangan kegemaran anda di kaca televisyen.
 
Bagaimana, mudah bukan untuk kekal sihat dan fit walaupun berada di rumah. Tapi ingat ya, ia harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Tambah juga cara lain yang kreatif dan boleh bersenam di rumah. Lakukan, lakukan dengan gembira dan lakukan sebanyak mana cara sekalipun.